Sunday, September 14, 2008

Industri takaful patut dapat sokongan



DALAM kepesatan industri kewangan Islam berkembang, industri takaful bagaimanapun masih kurang mendapat perhatian masyarakat. Industri takaful sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk berkembang apatah lagi di Malaysia yang majoritinya adalah masyarakat Melayu Islam. Takaful adalah insurans Islam yang mempunyai konsep yang sama seperti konvensional insuran tetapi berbeza pendekatan. Konsep pengurusan risiko yang menjadi teras di dalam insurans sebenarnya sudah lama wujud di dalam Islam seperti sistem Aqilah yang dipraktikkan pada zaman Rasulullah. Di bawah sistem ini keluarga penjenayah (atau pihak yang bertanggungjawab pada kerosakan) membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, begitu juga pada zaman Khalifah Umar yang wujud tabung untuk membantu golongan yang berada di dalam kesusahan. Bagaimanapun, industri takaful hanya muncul pada 1979 di Sudan dan menjadi permulaan kepada industri yang penuh potensi ini. Di Malaysia, takaful hanya menguasai 7 peratus pasaran berbanding dengan industri insurans konvensional sedangkan Bank Negara mensasarkan 20 peratus penguasaan pasaran oleh industri kewangan Islam pada 2010. Justeru, ia membawa persoalan kemampuan industri takaful yang menjadi sub kepada industri kewangan Islam untuk turut sama berkembang pada tahap yang sepatut dan yang dijangka. Pembangunan industri ini walaupun membanggakan dengan pertumbuhan bilangan syarikat, namun masih lagi kurang memuaskan. Tidak dinafikan Bank Negara memainkan peranan yang proaktif untuk memajukan industri ini dengan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk pemain pasaran.

No comments: