Saturday, July 26, 2008

Dewan Negara: Pesara perlu simpanan minimum RM120,000

Pencarum KWSP kena bijak melabur untuk hidup lebih selesa

KUALA LUMPUR: Purata simpanan rakyat Malaysia pada umur 54 tahun yang menjadi pencarum aktif dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2007 ialah RM121,163. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, berkata sekiranya seseorang pekerja membayar caruman secara berterusan dari mulai bekerja sehingga bersara iaitu bagi tempoh 30 tahun, simpanan KWSP yang ada pada umur 55 tahun akan berjumlah sekurang-kurangnya RM120,000.

"Jumlah simpanan itu dijangka boleh memberikan pendapatan sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 20 tahun selepas berumur 55 tahun. "Untuk menikmati kehidupan lebih selesa, pencarum mestilah mempunyai caruman lebih daripada RM120,000," katanya menjawab soalan Senator Datuk Ikhwan Salim Sujak yang ingin tahu anggaran kasar simpanan kebanyakan rakyat Malaysia dalam KWSP apabila bersara. Bagaimanapun, Husni menjelaskan simpanan dimiliki seseorang itu dalam KWSP ketika bersara tidak bergantung semata-mata kepada kadar caruman tetapi juga jumlah pendapatan, tempoh bekerja dan mencarum serta kadar dividen diterima.

Menjawab soalan tambahan Ikhwan Salim, Ahmad Husni berkata, sekiranya pencarum bijak membuat pelaburan, jumlah RM120,000 itu mencukupi sepanjang bersara. "Ketika ahli masih lagi mencarum, mereka boleh menggunakan wang menerusi akaun kedua sebanyak 20 peratus daripada caruman untuk membeli rumah, malah jika rumah pertama selesai dibayar dan dijual mereka juga dibenar membeli rumah kedua. "Jadi saya maklum sekiranya mereka mempunyai rumah dan juga pelaburan yang mencukupi, maknanya dengan RM120,000 mereka boleh hidup," katanya. Menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang meminda perlembagaan KWSP bagi mewajibkan setiap pekerja sambilan atau kontrak turut mencarum, Ahmad Husni berkata, perkara itu akan dikaji.

No comments: