Saturday, July 26, 2008

Urus Wang Anda: Wanita perlu simpanan persaraan lebih banyak

UMUMNYA wanita mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding lelaki. Secara purata wanita akan hidup selama 22 tahun selepas persaraan berbanding 19 tahun bagi lelaki. Ini bermakna golongan wanita perlu mempunyai simpanan persaraan yang lebih banyak daripada lelaki.Namun, kealpaan mengenai keperluan menyimpan untuk persaraan atau hanya mula menyimpan untuk persaraan ketika sudah menghampiri usia bersara, kebanyakan wanita mengalami kesulitan wang apabila sudah tidak bekerja. Mengikut satu kajian di Amerika Syarikat (AS), golongan wanita berkenaan hanya mula menyimpan bagi tujuan kegunaan persaraan di saat-saat akhir. Selain itu, wanita juga sering bertukar kerja yang boleh menyebabkan pendapatan mereka tidak menentu dan kehilangan pendapatan ketika mencari kerja baru. Justeru, untuk mengelak perkara sama, wanita yang secara umumnya mempunyai pendapatan lebih kecil daripada lelaki atau mengalami proses kenaikan pangkat yang lebih lambat berbanding daripada lelaki, perlu membuat persediaan awal bagi persaraan. Perancang kewangan pada kebiasaannya mencadangkan wanita supaya menyimpan dua peratus lebih banyak daripada lelaki pada setiap tahun untuk tempoh 30 tahun mereka bekerja. Ini bagi membolehkan mereka apabila bersara kelak dapat mengekalkan gaya hidup sama seperti dilalui ketika mendapat bayaran gaji setiap bulan semasa mereka bekerja. Simpanan lebih tinggi daripada lelaki itu juga perlu bagi memastikan mereka mempunyai kemampuan mencukupi bagi membayar kos perubatan dan keperluan hidup lain yang semakin tinggi. Kajian Hewitt Associates, sebuah firma pengurusan sumber manusia antarabangsa, mendapati terdapat beberapa kelemahan di kalangan wanita hari ini. Kajian mendapati mereka mula menyimpan bagi persaraan agak lewat, kurang melabur dan terlalu kerap berhenti kerja atas alasan keluarga. Ini menyebabkan mereka kehilangan pendapatan berjumlah beribu-ribu ringgit, selain kehilangan peluang kenaikan pangkat atau mendapat manfaat lain daripada majikan. Meskipun kajian Hewitt itu membabitkan wanita di AS, tetapi keadaannya adalah hampir sama seperti di negara ini dan boleh dijadikan panduan serta kesedaran mengenai keperluan menyimpan bagi persaraan. Kajian berkenaan membabitkan hampir dua juta wanita yang sedang bekerja di 72 syarikat utama di negara berkenaan. Penulis kajian itu, Alison Borland, berkata tabiat menyimpan wanita didapati tidak banyak berubah jika dibanding dengan beberapa tahun lalu. Secara keseluruhan, empat daripada lima lelaki dan wanita tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk mengekalkan gaya hidup sama apabila mereka sudah tidak bekerja. Hewitt menganggarkan selepas bersara setiap pekerja perlu menggantikan 126 peratus daripada gaji mereka jika mahu mengekalkan gaya hidup dan keselesaan yang sama seperti mereka kecapi sekarang. Ini bermakna mereka perlu mempunyai wang belanja yang lebih tinggi ketika bersara disebabkan kos perubatan dan sara hidup lain adalah lebih tinggi apabila mereka bersara kelak. Bagaimanapun, disebabkan wanita mempunyai jangka hayat yang lebih lama daripada lelaki, wanita perlu memikirkan untuk menyimpan lebih banyak dan mula menyimpan untuk persaraan lebih awal daripada lelaki. Malah, kehidupan mereka juga akan menjadi lebih selesa apabila tidak lagi mempunyai hutang yang perlu dilunaskan.

No comments: