Friday, August 29, 2008

Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda

Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda
Menentukan matlamat kewangan dapat membantu orang ramai baik yang muda mahupun yang dewasa untuk mempelajari nilai wang. Matlamat kewangan mencerminkan apa yang anda hendak lakukan dengan wang anda dalam satu jangka masa tertentu. Penentuan matlamat akan mendorong anda berbelanja dan menyimpan wang mengikut kaedah yang akan membolehkan matlamat anda tercapai. Setiap keluarga menentukan matlamat dan merancang hal kewangan mereka berasaskan kepada penilaian masing-masing. Walau apa pun jua penilaian merekasekeluarga, rancangan kewangan mereka adalah merupakan suatu ekspresi tentang apa yang paling penting bagi mereka. Umumnya matlamat-matlamat ini meliputi:
• Membeli rumah
• Membeli kereta
• Berkahwin
• Pelajaran anak-anak
• Percutian
• Persaraan
• Perbelanjaan perubatan
Penentuan beberapa siri matlamat peribadi akan membantu anda untuk mengurus wang anda dengan berhemat. Matlamat anda boleh berubah dari semasa ke semasa, namun ia mampu memberi dorongan dan insentif kepada anda agar terus membuat perancangan kewangan.
Anda harus merancang untuk:
• Matlamat Jangka Pendek Perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang terdekat. Mungkin dalam tempoh seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak melebihi setahun seperti membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk percutian.
• Matlamat Jangka Sederhana Perkara yang boleh dibuat dalam tempoh satu hingga lima tahun seperti membeli sebuah kereta atau sebuah komputer.
• Matlamat Jangka Panjang
Perkara-perkara yang diharapkan boleh dicapai tetapi mengambil masa yang lebih lama lagi misalnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk pendidikan anak-anak di peringkat yang lebih tinggi. Peruntukan wang simpanan ke arah matlamat-matlamat ini bergantung kepada beberapa faktor yang seterusnya akan menentukan pilihan pelaburan anda.
Oleh itu, adalah penting matlamat-matlamat ini disenaraikan mengikut keutamaan. Amaun yang diketepikan untuk memenuhi matlamat ini berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain dan faktor-faktor yang diambil kira adalah termasuk faktor usia, tahap pendapatan, perbelanjaan, jumlah tanggungan, status pekerjaan dan taraf perkahwinan.

No comments: