Friday, August 29, 2008

Langkah 2 - Menjejaki Ke Mana Perginya Wang Anda Setelah anda menentukan matlamat anda, anda mungkin berasa mustahil untuk mencapainya, lebih-lebih lagi jika anda mendapati tiada lagi yang tinggal apabila tiba cukup bulan. Sekiranya anda membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik, matlamat anda akan menjadi mudah tercapai berbanding apa yang anda jangkakan. Walau bagaimanapun, sebelum anda membentuk rancangan perbelanjaan, anda perlu menjejaki dahulu ke manakah perginya wang anda. Ini boleh dilakukan dengan merekod setiap perbelanjaan yang dibuat bagi sesuatu tempoh contohnya lapan minggu. Ini bukan bertujuan menyekat perbelanjaan anda tetapi mengenal pasti hala tuju perbelanjaan anda.Dengan ini, anda akan mengetahui:• Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda• Berapa banyakkah anda berhutang setiap bulan• Berapa banyakkah yang masih tinggal pada akhir bulan

Langkah 3 - Menilai Cara Anda Berbelanja Jika anda mendapati bahawa anda tidak mempunyai apa-apa baki pada akhir bulan, barangkali anda perlu menilai cara anda berbelanja. Anda perlu meneliti senarai perbelanjaan anda untuk memastikan sama ada kesemuanya adalah benar-benar perlu atau merupakan perbelanjaan yang anda boleh kurangkan atau tiadakan. Berikut adalah tip-tip bagaimana anda boleh menjadikan perbelanjaan anda lebih menjimatkan:
• Semak senarai barangan isi rumah yang anda beli untuk meneliti sama ada jenamanya boleh ditukar ke jenama yang lebih murah (seperti kertas tisu tandas, serbuk pencuci, cairan pembersih dan sebagainya)
• Semak senarai keperluan barang-barang dapur anda untuk mengenal pasti barangan yang "elok ada" tetapi sebenarnya tidak diperlukanAnda juga sepatutnya mengenal pasti isyarat amaran mengenai tabiat anda berbelanja yang tidak sihat yang boleh membawa kepada masalah kewangan:
• Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa
• Melengahkan pembayaran bil-bil yang selalunya dibayar sebelum tarikh tamat
• Membuat pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman lama
• Menangguhkan pembayaran balik pinjaman anda
• Memilih untuk membayar secara ansuran apabila membeli barangan harian untuk isi rumah
• Pembayaran melebihi pendapatan pada akhir bulan
• Membeli mengikut gerak hati walaupun anda tahu bahawa anda tidak mampu membelinya
Bagi membantu menyemai sifat-sifat berdisiplin di dalam cara anda berbelanja, anda perlu merangka rancangan perbelanjaan anda dan akur kepadanya.

No comments: