Friday, August 29, 2008

MELABURKAN WANG ANDA

MELABURKAN WANG ANDA
Sekiranya anda mempunyai wang lebihan pada setiap hujung bulan atau anda mempunyai sejumlah wang simpanan, anda mungkin ingin melaburkannya untuk mendapatkan pulangan maksimum ke atas pelaburan tersebut. Bagi pelabur yang bijak, kebanyakan mereka menyimpan wang yang cukup di dalam produk simpanan untuk keperluan masa kecemasan dan melaburkan bakinya untuk mendapat pulangan maksimum.
Untuk menentukan jenis pelaburan yang sesuai dengan anda, anda mungkin ingin mengambil kira faktor-faktor berikut:
• Matlamat dan keperluan Anda mungkin mempunyai matlamat dan keperluan tertentu yang anda ingin capai hasil daripada pelaburan anda. Contohnya, anda mungkin ingin membiayai pelajaran anak-anak anda di kolej, membesarkan perniagaan, rancangan perjalanan atau memenuhi keperluan persaraan.
• Umur anda adalah faktor penting dalam menentukan sebanyak mana risiko yang sedia anda tanggung. Portfolio aset yang lebih berisiko dan sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa mungkin lebih sesuai untuk pelabur golongan muda tetapi tidak semestinya untuk mereka yang menghampiri usia persaraan.
• Pendapatan Jumlah pendapatan dan keperluan pendapatan anda kedua-duanya akan mempengaruhi objektif pelaburan anda.
• Pekerjaan Pekerjaan anda juga akan memberi kesan kepada objektif portfolio pelaburan. Contohnya, adakah pekerjaan anda sekarang menyediakan pelan persaraan yang mencukupi atau adakah anda perlu menyediakan dana persaraan daripada simpanan, deposit tetap dan lain-lain portfolio pelaburan anda.
• Kekayaan Objektif pelaburan juga harus mengambil kira aset yang anda miliki di luar portfolio pelaburan. Jenis-jenis aset yang anda pegang akan mendatangkan impak kepada tahap risiko yang sedia ditanggung oleh anda. Simpanan dan deposit tetap adalah paling rendah risikonya diikuti oleh wang dalam bentuk bon-bon gred pelaburan, manakala melabur dalam ekuiti melibatkan tahap risiko yang lebih tinggi.
Di Malaysia, pasaran bon tidak mudah diakses oleh orang ramai dan anda memerlukan wang yang banyak untuk membeli bon-bon ini. Pelabur yang berminat untuk melabur dalam bon bolehlah berbuat demikian, misalnya, melalui amanah saham yang berhubung kait dengan instrumen berpendapatan tetap.
• Ufuk masa Salah satu faktor yang penting dalam menetapkan objektif pelaburananda ialah ufuk masa. Bilakah anda ingin mencairkan portfolio pelaburan anda? Anda perlu memilih tempoh matang aset-aset di mana anda bercadang untuk melabur.
• Kecairan Kecairan ialah semudah mana anda boleh mencairkan aset anda kepada tunai pada nilai pasaran yang berpatutan. Apa yang penting, anda hendaklah menentukan keperluan anda untuk menukarkan aset-aset anda kepada tunai pada masa yang sesuai.
• Simpanan dan deposit tetap adalah paling cair dan boleh ditukarkan dengan wang tunai pada bila-bila masa tanpa kerugian modal.
• Bon dan dana amanah saham tidak secair simpanan dan pelabur boleh mengalami kerugian modal mengikut harga pasaran bon atau amanah saham• Harga ekuiti lebih mudah berubah dan mempunyai tahap kecairan berbeza-beza. Ianya tidak seharusnya dipertimbangkan untuk pelaburan jangka pendek
• Harta benda pada amnya adalah aset tidak cair
• Kesediaan untuk menerima risiko Adalah penting untuk anda menilai adakah anda selesa menghadapi turun naik pasaran dan sejauh manakah anda bersedia untuk berdepan dengannya.
Sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang pelaburan yang akan dibuat, anda mungkin ingin meminta nasihat daripada penasihat pelaburan yang bertauliah untuk menasihati anda bagaimana wang anda boleh dilaburkan.

No comments: