Sunday, August 24, 2008

Perancangan kewangan mencabar lagi menarik



Oleh HAZNAN HAMZAH
RAMAI yang kurang arif tentang cara menguruskan wang dengan teratur.Mereka tidak tahu bagaimana mengira keperluan persaraan dan apakah risiko-risiko yang akan mereka hadapi pada masa hadapan.
Bagi yang berpendapatan rendah atau sederhana, mereka akan lebih tertekan apabila bersara kerana jumlah pendapatan yang diterima kadang kala tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian.
Mereka yang berpendapatan tinggi pula menghadapi masalah membahagikan harta mereka sehingga menyebabkan pergaduhan antara ahli keluarga atau adik beradik sendiri.
Ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dalam kehidupan melalui pendidikan yang mencukupi.
Namun begitu, universiti tempatan mempunyai tempat yang terhad dan ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke luar negara untuk meneruskan pelajaran.
Kos belajar di universiti luar negara amat tinggi dan jikalau tidak dirancang dengan teliti maka cita-cita tersebut tidak tercapai.
Seorang perancang kewangan yang bertauliah berupaya membantu individu atau keluarga merancang hal ehwal kewangan mereka agar cita-cita dan harapan mereka boleh dicapai dengan lebih teratur, dengan mengambil kira segala risiko yang mungkin dihadapi.
Seorang perancang kewangan meneliti kedudukan kewangan, tahap risiko, cita-cita, keperluan peribadi dan keluarga, cukai pendapatan, aset, liabiliti, insurans nyawa dan insurans lain, pengurusan estet dan sebagainya untuk klien mereka sebelum sesuatu pelan atau strategi yang munasabah dan praktikal dapat dilaksanakan.
Ini bermakna seorang perancang kewangan akan menjalin hubungan yang sangat intim dengan pelanggan mereka seperti hubungan dengan peguam atau doktor peribadi.
Kerjaya sebagai seorang perancang kewangan secara amnya bermula selepas menjadi ejen insurans, ejen amanah saham atau penulis wasiat untuk beberapa tahun.
Bertauliah
Ada juga perancang kewangan yang berpengalaman berkhidmat sebagai akauntan dan peguam.
Untuk menjadi seorang perancang kewangan yang bertauliah, mereka perlu mengambil kursus perancangan kewangan seperti yang dikendalikan oleh Financial Planning Association of Malaysia (FPAM).
Kursus ini merangkumi enam modul dan selepas berjaya menduduki kesemua peperiksaan, mereka layak menggunakan perkataan CFP (Certified Financial Planner) di belakang nama mereka.
Kelayakan CFP diiktiraf di seluruh dunia dan mereka yang berjaya dikehendaki menjalani kerjaya mereka dengan mematuhi kod etika yang telah ditetapkan.
Label CFP juga diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai salah satu kelayakan untuk memohon lesen Investment Adviser.
Kebanyakan bank, syarikat insurans, syarikat amanah saham, firma sekuriti, firma perakaunan, firma perancangan kewangan dan firma guaman pada masa kini memerlukan pegawai perancang kewangan yang bertauliah kerana syarikat dan firma tersebut dapat memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada pelanggan atau pelanggan mereka.
Seorang perancang kewangan juga boleh menubuhkan syarikat mereka sendiri selepas beberapa tahun pengalaman bekerja atau bekerjasama dengan firma perakaunan, firma guaman, perunding cukai pendapatan dan sebagainya.
Di luar negara, seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Australia, pegawai perancang kewangan ialah seorang profesional yang setaraf dengan profesional lain seperti peguam, akauntan, penganalisis saham, dan penganalisis kewangan.
Di Australia, dalam setiap 10 keluarga, satu keluarga akan menggunakan perkhidmatan Perancang Kewangan untuk menguruskan hal ehwal kewangan mereka.
Di Malaysia, perancang kewangan merupakan satu kerjaya yang baru tetapi telah mendapat perhatian daripada semua pihak.
Sebuah universiti tempatan telah menawarkan kursus CFP bersama dengan program sarjananya. Begitu juga beberapa institusi yang pakar dalam bidang ini.
Dari segi pendapatan, seorang perancang kewangan boleh menyara hidupnya dengan pelbagai cara.
Contohnya, dengan bekerja (makan gaji), mendapat komisyen daripada produk kewangan, yuran perundingan, bergaji dengan komisyen atau pun yuran dan komisyen.
Yuran perundingan bergantung kepada pelan yang disediakan oleh perancang kewangan untuk kliennya dan jumlahnya adalah antara RM5,000 hingga RM80,000.
Kadangkala, ia boleh melebihi - ataupun kurang - daripada jumlah tersebut.
Setiap pelan berbeza bagi setiap klien dan setiap pelan adalah unik bagi memenuhi keperluan klien tersebut.
Pelan yang dimaksudkan adalah seperti pelan persaraan, pelan perubatan, pelan pendidikan untuk klien atau anak, pelan insurans, pelan pengurusan estet, pelan keperluan peribadi, pelan mengurus hutang, pelan pengurusan harta, pelan cukai pendapatan dan sebagainya.
Perancangan kewangan adalah untuk semua orang tidak kira bangsa, agama dan peringkat umur. Setiap individu perlu menjaga segala aspek kewangannya agar mendapat ketenangan jiwa (peace of mind) dan hak-hak orang yang disayangi terjamin supaya sebarang keraguan dapat diatasi dengan teratur.
Seorang perancang kewangan menyediakan perkhidmatan yang komprehensif dengan objektif membantu kliennya mencapai matlamat dan hasrat hidup dengan lebih teratur dengan cara yang profesional. Seorang perancang kewangan terikat kepada undang-undang negara supaya klien dapat mengambil tindakan undang undang terhadapnya jikalau berlaku sebarang penyelewengan.
Dari berita-berita yang tersebar di akhbar-akhbar tempatan, jumlah insan yang bergelar bankrap kerana hutang kad kredit yang tidak terbayar, bertambah setiap tahun.
Begitu juga berita wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang selama 25 tahun dikumpul tetapi habis dalam masa hanya tiga tahun selepas bersara.
Anak-anak yang mendapat keputusan yang baik tetapi tidak mendapat tempat di Universiti tempatan dan ibu bapa tidak berupaya membiayai kos pelajaran di universiti luar negara atau di universiti kolej tempatan selalu juga disiarkan.
Kos perubatan dan kos sara hidup yang semakin meningkat. Anak-anak yang sukar mendapat pekerjaan dan bergantung kepada ibu bapa yang telah bersara yang wang pencennya tidak cukup untuk keperluan harian.
Hutang peribadi atau pun hutang kad kredit yang tidak habis-habis dibayar.
Tidak dapat menunaikan haji kerana tidak mencukupi wang.
Isteri dan anak kebuluran kerana tidak dibuat persediaan untuk mereka, sebelum ketua keluarga meninggal dunia dan pelbagai lagi masalah hidup yang selalu tersebar di surat khabar atau televisyen, berupaya diatasi sekiranya khidmat seorang Perancang Kewangan telah terlebih dahulu digunakan. - Haznan Hamzah ialah Pengajar Perancangan Kewangan, IFPA Resources Sdn. Bhd.


Sumber UM 19/08/2005

No comments: